Welcome to Our World!

Welcome to Our World!

Tuesday, July 1, 2008

Pengenalan Kumpulan Kashfy

Kashfy merupakan sebuah kumpulan vokal dan band yang berasal dari Malaysia. Mengambil perkataan daripada bahasa Arab yang membawa maksud discovery, Kashfy merupakan tempias kepada ekspresi seni beberapa anak muda yang gemar menjalankan eksplorasi muzik sebagai salah satu wadah untuk mereka berdakwah kepada masyarakat.

Kashfy sentiasa menekankan pembawakan mesej yang jelas dan terus kepada masyarakat berbanding menerusi media elektronik dan publisiti bukanlah suatu keutamaan buat Kashfy. Tidak selesa dilabelkan sebagai kumpulan nasyid atau rock dan sebagainya, Kashfy kerap mengetengahkan lagu-lagu world music secara live di pentas persembahan dengan diiringi pelbagai instrument muzik hasil bakat setiap ahli.


Walaupun menerima sumber inspirasi yang pelbagai, pendekatan Kashfy lebih banyak dibayangi oleh artis-artis muslim di peringkat antarabangsa seperti Sami Yusuf, Zain Bikha, Dawud Wharnsby Ali, Yusuf Islam, Hamza Robertson dan sebagainya. Pembawakan artis-artis tersebut amat menarik minat Kashfy memandangkan ia satu pendekatan dakwah yang universal yang jarang ditonjolkan kepada masyarakat khususnya di Malaysia.


Satu lagi kelainan yang amat ketara dibawa oleh Kashfy adalah keterlibatan ahli-ahlinya dalam bidang professional seperti perubatan, kejuruteraan, dan senibina di samping sebahagian daripada ahli-ahlinya merupakan penghafaz Al-Quran. Keterlibatan ini nyata membolehkan Kashfy untuk dijadikan role model para remaja masa kini di samping menyampaikan mesej dakwah mereka dalam irama yang tersendiri.

Sejarah Penubuhan Kumpulan Kashfy

Menyoroti sejarah penubuhan kumpulan kashfy, kumpulan ini pada mulanya dibarisi oleh anak-anak muda yang merupakan penuntut program persijilan di Darul Quran, Kuala Kubu Bharu. Kumpulan yang pada asalnya bernama IQNiG (Intelectual Quranic Nasheed Group) ini adalah hasil cetusan idea saudara Ihsan Abdul Razak yang ditubuhkan bagi mengisi keperluan masa lapang pelajar-pelajar persijilan di samping mereka berusaha menghabiskan hafazan 30 juzuk Al-Quran dalam masa setahun setengah. Semasa di Darul Quran lagi kumpulan ini aktif mengadakan persembahan di dalam dan luar kampus seperti persembahan sempena konvokesyen dan di majlis-majlis perkahwinan.Setelah mereka tamat pengajian, aktiviti kumpulan ini diteruskan lagi di Pusat Matrikulasi UIAM dengan pertukaran beberapa ahli.
Semasa di pusat matrikulasi, IQNiG diberi penghormatan untuk mengadakan persembahan sempena konsert yang diadakan di Darul Quran. Konsert yang bertemakan Karnival Selawat Harmonika (Kashar) itu membariskan kumpulan-kumpulan nasyid ternama seperti Raihan, Nowseeheart, dan Mirwana. Sehubungan dengan penyertaannya dalam konsert yang besar ini, IQNiQ mula memperkemaskan ahlinya dengan membawa masuk saudara Luqman Faiz yang merupakan penuntut di INTEC ketika itu untuk menambahbaik mutu vokal di samping menjadi solo kumpulan. Kemasukan Luqman Faiz ini membawa kepada detik awal penubuhan kumpulan Kashfy yang rata-rata ahlinya masih kekal sehingga kini.
Bakat dan persembahan mantap IQNiG pada konsert tersebut kemudiaannya dihidu oleh Nordin Jaafar yang merupakan solo kumpulan Alarmme ketika itu. Nordin Jaafar dalam rangka kerjanya untuk menyiapkan projek album selawat di bawah kelolaan syarikat Telaga Biru terus menghubungi kumpulan IQNiG untuk sesi ujibakat dan penyerahan demo tape. Hasil daripada ujibakat yang memuaskan itu, ahli-ahli IQNiG kemudiaannya diberi kepercayaan oleh Nordin Jaafar untuk merakamkan album selawat di bawah pemantauannya di samping beliau turut menjadi lead singer dalam album tersebut. Ketka itu, IQNiG dianggotai oleh empat orang ahli iaitu Ihsan Abdul Razak, Ahmadsyafii’ei Abdul Kudos, Luqman Faiz dan Suhairil Izham. Ketika itu, Ihsan merupakan pelajar praperubatan tahun kedua di Pusat Matrikulasi UIAM dan saudara Suhairil dan Syafii’ei merupakan pelajar tahun pertama di pusat yang sama masing-masing dalam bidang kejuruteraan dan senibina. Luqman pula merupakan pelajar praperubatan tahun pertama di INTEC, Shah Alam.
Pada awal November 2005, proses rakaman album selawat pun bermula yang bertempat di studio milik Faizal Tahir di Ukay Perdana. Proses rakaman album yang berjalan selama 2 bulan tersebut akhirnya membawa kepada tertubuhnya kumpulan Kashfy, nama yang diilhamkan oleh saudara Ihsan Abdul Razak.

Pelancaran Album Remaja Berselawat

Ketika proses rakaman berjalan, Kashfy banyak mendapat tunjuk ajar daripada Faizal Tahir mengenai teknik-teknik rakaman dan susunan vokal yang betul. Kashfy juga diberi peluang oleh Nordin Jaafar untuk menggubah irama lagu selawat yang bersesuaian di samping menyumbang kepada penulisan lirik untuk sesetengah lagu. Proses rakaman yang kadangkala memenatkan itu turut mempertemukan Kashfy dengan artis-artis nasyid, komposer dan pemain muzik yang turut bertandang ke studio tersebut seperti Alwi Al Haddad, Achik, kumpulan Brothers, kumpulan Firdaus dan ramai lagi. Mereka sedikit sebanyak menyumbang idea dan tenaga untuk menyiapkan album tersebut.
Setelah memakan masa hampir 2 bulan, akhirnya album yang diberi judul Remaja Berselawat itu berjaya disiapkan dengan jayanya. Memandangkan album tersebut adalah sebuah projek di bawah Telaga Biru, maka syarikat tersebut telah membuat tawaran kepada Kashfy untuk menandatangani kontrak sebelum pelancaran album boleh dilaksanakan. Namun, disebabkan komitmen pelajaran yang begitu membebankan, tawaran tersebut terpaksa ditolak oleh Kashfy. Setelah berbincang panjang dengan pengurus Telaga Biru, Hj. Waharp, akhirnya persetujuan dicapai dengan Kashfy tidak bertindak selaku artis di bawah Telaga Biru walaupun album tersebut adalah di bawah tanggungan Telaga Biru. Ini sekaligus membolehkan Kashfy bergerak secara sendiri di samping tidak mengganggu komitmen mereka terhadap pelajaran.


Apabila album Remaja Berselawat dilancarkan, Kashfy mula menjalankan promosi album melalui sesi wawancara di stesen-stesen radio tempatan seperti Radio IKIM dan Radio KL. Selain mempromosi album, peluang ini turut diambil untuk memperkenalkan kumpulan Kashfy kepada masyarakat umum. Tidak kurang juga promosi yang dibuat melalui persembahan-persembahan Kashfy di sekitar Lembah Klang.
Selain giat mengadakan persembahan, sebahagian ahli Kashfy turut menyumbangkan tenaga mereka sebagai backup voice untuk kumpulan nasyid yang lain seperti pada Anugerah Nasyid IKIM 2005 apabila Kashfy menjadi backup voice untuk kumpulan Alarmme. Tidak kurang juga penyertaan Kashfy dalam aktiviti-aktiviti kemasyarakatan seperti turut sama menjayakan perayaan Maulid Nabi di Felda Pasoh 2, Negeri Sembilan yang disiarkan di RTM 1.

Penyertaan dalam Akademi Seni Raihan

Pada awal tahun 2007, Nordin Jaafar dipelawa menyertai Raihan selama beberapa tempoh untuk menggantikan Nazrey sebagai solo kumpulan Raihan. Penyertaan Nordin Jaafar, yang pernah menjadi pengarah projek album selawat Kashfy ini secara tidak langsung membuka peluang kepada Kashfy untuk bertapak dibawah naungan Raihan. Raihan yang amat berminat dengan konsep yang dibawa Kashfy melalui album Remaja Berselawatnya mengambil Kashfy sebagai artis pertama untuk Akademi Seni Raihan yang turut juga menampilkan kumpulan Soutul Ilham sebagai kumpulan nasyid kanak-kanak.
Di bawah akademi ini, Kashfy diberi peluang oleh Raihan untuk merakamkan album Yatim, sebuah album yang bertujuan untuk mengumpul dana untuk anak-anak yatim yatim seluruh negara. Dalam album tersebut, Kashfy merakamkan semula lagu Kasih Sayang nyanyian Raihan secara acapella dan berduet dengan Raihan dan Soutul Ilham untuk lagu baru, Kita Semua Yatim. Selain merakamkan album, Kashfy bersama Raihan turut menjayakan konsert PEYATIM yang bertempat di USM, Pulau Pinang di hadapan ribuan anak-anak yatim seluruh Malaysia.
Kashfy juga diamanahkan untuk menggantikan persembahan-persembahan Raihan di sekitar Lembah Klang tatkala Raihan sibuk dengan persembahan-persembahan di luar negara. Persembahan yang paling tidak dilupai Kashfy ialah sewaktu menjayakan Konsert Nur anjuran PEYATIM di Istana Budaya. Konsert itu membariskan artis-artis ternama tanahair seperti Ramli Sarip, Mawi, Aisyah, Nash dan ramai lagi. Pada malam konsert tersebut Kashfy membawakan lagu Kita Semua Yatim dengan iringan orkestra daripada Dewan Filharmonik Petronas.

Bergerak Secara Solo

Setelah agak lama berada di bawah bumbung Raihan, sudah tiba masanya bagi Kashfy untuk bergerak secara solo setelah sekian lama menimba pengalaman dan kemahiran sebagai anak seni. Hasil inisiatif saudara Suhairil Izham dan permuafakatan semua ahli, akhirnya syarikat Kashfy Entertainment Enterprise ditubuhkan. Syarikat yang diuruskan oleh Suhairil Izham ini bukan sahaja menjadi platform untuk Kashfy bergiat aktif dalam aktiviti seninya, tetapi ia turut menawarkan kemudahan-kemudahan lain seperti event management, penyediaan PA dan lighting system, pembekalan alat-alat perkusi, penganjuran kelas vokal dan perkusi dan lain-lain.
Mempunyai syarikat sendiri memberi satu kemudahan yang besar kepada ahli-ahli Kashfy untuk mengurus sendiri karier seninya memandangkan setiap ahli Kashfy semakin sibuk dengan pengajian masing-masing.Sekarang ini Ihsan merupakan pelajar perubatan tahun ketiga di UIA Kuantan, Suhairil merupakan pelajar kejuruteraan tahun kedua di UIA Gombak dan Luqman merupakan pelajar perubatan tahun kedua di International Medical University, Bukit Jalil.
Kashfy juga membuat sedikit pertukaran ahli dengan membawa masuk dua ahli baru iaitu saudara Hilmi Suhaimi dan saudara Husaini untuk menggantikan saudara Syafii’ei yang terlalu sibuk dengan komitmen pelajaran. Hilmi merupakan pelajar tahun ketiga kursus senibina di UIA Gombak manakala Husaini merupakan pelajar tahun pertama kursus Bahasa Moden dan Komunikasi di Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS).
Terkini, Kashfy dalam perancangannya untuk menerbitkan single memandangkan sudah lama menyepi dalam aktiviti rakaman. Lagu yang bakal menjadi single pertama itu adalah hasil garapan saudara Suhairil yang mungkin turut menampilkan Nazrey Raihan sebagai duet utamanya. Terdapat beberapa buah lagu yang masih lagi dalam proses rakaman yang rata-ratanya adalah hasil cetusan kreativiti ahli-ahli Kashfy sendiri. Semoga dengan terbitnya lagu-lagu tersebut nanti, Kashfy dapat mengorak langkah lebih jauh lagi dalam persada muzik tanahair dan juga luar negara, sekaligus merealisasikan hasrat utama Kashfy untuk merakamkan album bersama artis-artis muslim antarabangsa di serata dunia.

2 comments:

Hani Othman said...

tak penah jpa pon album ni kat kedah...hehehehe

auntie sarah said...

a'ah... kump kashfy mcm kurang dikenali... album dia pun susah nak jmp kat pasaran...

ok, gud luck untuk kashfy! moga terus mara kehadapan...insyaALLAH... ikhlaskan niat kalian berdakwah melalui seni (jagalah hati, jgn dikotori!~SNADA)